Oleh Wan Nordin Wan Yaakob, Roy Rasul dan Anis NazriKUALA LUMPUR/PUTRAJAYA, 2 Sept (Hrkh) - Pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menunjukkan kebenaran dan keadilan tertegak untuk beliau yang telah merengkok dalam penjara selama enam tahun.
Menurut Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Mustafa Kamil Ayub, rakyat Malaysia pasti berbangga dengan perkembangan tersebut dan seterusnya memberi suntikan baru kepada perjuangan rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan.
"Alhamdulillah kerana akhirnya perjuangan sebenar rakyat selama ini untuk Anwar termakbul," katanya yang turut berada di mahkamah di Putrajaya apabila keputusan rayuan kes Anwar didengar.
Malah katanya, hari ini juga tidak dapat digambarkan betapa ceria dan gembira seluruh keluarga dan penyokong Anwar yang berada di sana.
Katanya, ini juga berkat kesabaran penantian selama enam tahun setelah Anwar dipecat pada 2 September 1998.
Pembebasan ini juga, katanya lagi, akan menjadi titik awal kepada perjuangan keadilan serta semangat baru reformasi dan keagamaan.
Serentak itu juga katanya, perjuangan KeADILan akan terus lebih semarak dalam mendaulatkan perjuangan Islam dan keadilan di Malaysia.
"Sudah semestinya kami kini bersama Dato' Seri bukan lagi dari dalam penjara tetapi bersama kami di luar," katanya penuh semangat.
Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, pembebasan Anwar yang dilihat sebagai satu berita gembira kepada rakyat negara ini sewajarnya tidak menimbulkan banyak persoalan dalam konflik kes pendakwaan terhadapnya sebelum ini.
"Sememangnya situasi baru ini menunjukkan perkembangan positif dalam sistem keadilan negara ini tetapi yang menjadi persoalan mengapa proses perjalan kes beliau sampai ke tahap rayuan terakhir baru didapati beliau tidak bersalah," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, keputusan para hakim hari ini, menunjukkan sistem kehakiman dan keadilan negara ini masih mencernakan harapan rakyat.
Setiausaha Agung PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, pembebasan Anwar ini memulihkan sedikit kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman yang tercalar sebelum ini.
"Ia juga merupakan titik mula bagi badan kehakiman mendapat kepercayaan semula daripada rakyat," kata beliau ketika ditemui di mahkamah, hari ini.
Nasharuddin juga berkata, pembebasan ini juga akan memperkukuhkan kembali pakatan Barisan Alternatif (BA) dalam memperjuangkan hak-hak asasi dan keadilan.
Manakala AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar yang menyambut baik pembebasan itu berharap satu perubahan dalam pentadbiran negara akan terlaksana.
"Pembebasan ini menjadi asas kepada kerajaan untuk memberikan pengertian sebenar keadilan kepada rakyat, khususnya kepada tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih merengkok di Kamunting," tegas beliau.
Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Tian Chua pula berterima kasih kepada hakim yang membebaskan Anwar sejak beliau ditahan selama enam tahun.
Tian Chua turut menegaskan bahawa api reformasi akan disemarakkan dan akan bertambah hebat selepas pembebasan Anwar.
"Saya berharap, Anwar segera sembuh agar boleh bersama-sama menggerakkan BA kerana masih banyak lagi belum diselesaikan seperti isu nepotisme, kronisme dan keadilan rakyat," tegas beliau.
Sementara itu di Putrajaya, suasana di luar mahkamah semakin hangat dengan kehadiran pimpinan BA dan penyokong-penyokong keadilan.
Antara pimpinan BA yang hadir ialah Wan Azizah Wan Ismail, Ustaz Nasaruddin, Mahfuz, Syed Husin Ali, Dr Sanusi Osman, N Gobalakrishnan, Ghani Harun, Ezam Mohd Noor dan Azmin Ali. – lanh